Kepentingan waktu ke atas orang beriman
Manusia yang berakal, menghadapi waktunya bagaikan orang yang kikir yang memiliki sesuatu yang mahal. Ia tidak akan mensia-siakan sekejap pun terhadap sesuatu yang sedikit, apalagi yang banyak. Ia selalu menghitungkan bagaikan setiap wang yang keluar harus mendapat imbalan yang wajar. Ia juga selalu berusaha untuk menempatkan sesuatu di tempatnya yang layak. Begitulah orang-orang yang mempergunakan wang dan demikian pula seharusnya kita mempergunakan waktu. Kendatipun demikian, ia bukan merupakan satu perkara yang mudah untuk dilakukan jika sekiranya kita sendiri tidak memberikan perhatian sewajarnya nilai dan kebaikan yang ada padanya. Ramai orang menyesal setelah usia meningkat jauh dari dunia remaja dan belia.
Ramai yang merenung jauh nilai waktu yang ditinggalkan dengan penuh kekecewaan, kembali di saat masa yang berharga sudah semakin sukar untuk dijangkau dan tidak akan kembali lagi. Ramai yang merasakan alangkah indah dan baiknya sekiranya waktu usia muda remaja dipergunakan dengan sebaiknya. Ramai yang mahu kembali ke usia remaja dan muda belia, agar mereka dapat merancang kehidupan dengan lebih teliti dan kemas kini. Namun segalanya sudah berlalu dan semakin jauh dari kita. Sejauh yang kita tinggalkan tanpa membawa kenangan manis dan kesan yang mendalam. Namun tidak kurang juga yang merasa bahagia dan berbaloi dengan apa yang mereka lakukan dan sediakan semasa usia masih lagi gagah dan perkasa. Kini mereka menuai hasilnya, sambil terus melangkah dengan menikmati kebahagiaan yang menjadi idaman sewaktu mengatur kehidupan yang sebaiknya.
Peringatan yang jelas tidak boleh kita lalaikan begitu sahaja. Peringatan betapa pentingnya masa dijaga dan disempurnakan pengunaannya adalah suatu yang tidak boleh diambil ringan. Al-Quran sendiri mengingatkan kepada kita di dalam Surah Al-'Ashr yang tafsirnya:
" Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran."
Begitulah betapa jelasnya peringatan Allah tentang penggunaan masa, betapa pentingnya ia diperlakukan dengan sebaiknya dengan tetap mengingati Allah dan melakukan kebaikan. Cuba kita renungkan dan hayati, dan bertanyalah kepada diri sendiri apakah kita sudah dapat melakukan kehendak dan tuntutan amanah penjagaan waktu. Usia muda remaja memang usia yang amat berharga, kerana ini adalah titik atau period pembentukan diri dan bagi merancang kehidupan di hari kemudian. Seandainya kita mampu mengawal dan menjaga waktu dan memanfaatkannya dengan sebaiknya, nescaya kita akan mampu mewujudkan peta kehidupan dengan lebih berjaya dan sempurna. Hal sedemikian ini, sangat penting bagi kalangan generasi muda remaja, kepentingan ini bukan setakat untuk mengawal diri semata-mata agar tidak terjerumus ke lembah kehidupan yang sia-sia akan tetapi ianya merupakan pembentukan generasi yang akan menjadi isi dan jelama di dalam sesebuah masyarakat.
Justeru kita tidak boleh lalai dan mengambil ringan, betapa pentingnya pengurusan waktu dijaga dan diisi dengan pelbagai perkara yang berfaedah. Kita tidak perlu merasa bimbang perubahan sekeliling yang berlaku akan mempengaruhi kehidupan kita dengan kelalaian semata-mata. Namun yakinlah jika kita benar-benar serius mahu menjaga dan mengurus waktu kehidupan ini dengan sebaiknya nescaya kita akan mendapati jalan-jalan ke arah itu akan mudah ditemui. Kita tidak perlu berputus asa dan merasa tertekan dengan keadaan perubahan serta kemajuan sekeliling.
Apa yang sedang kita lalui kita perlu menelitinya dengan penuh keinsafan dan kesedaran yang tinggi agar kita tidak semudahnya terjebak dengan perubahan yang pantas bergolak. Tidak semestinya perubahan dan kemajuan yang berlaku disekeliling kita merupakan yang terbaik untuk kita. Kita perlu lebih proaktif dalam menilai bahawa setiap perubahan biarlah datang sebagai pemangkin untuk menggerakkan diri ke arah memanfaatkan masa yang kita lalui. Nilai waktu yang kita miliki tidak sama dengan intan berlian, namun harganya terlalu mahal untuk kita biarkan begitu sahaja. Kerana waktu yang dapat dipergunakan dengan sebaiknya, hatta dalam jangka yang singkat nescaya membawa kepada natijah yang sangat baik. Ingatlah jika kita tidak mahu mempedulikan keberadaannya nescaya tergolonglah kita kepada golongan yang akan menjadi pengemis waktu, di mana saat-saat kita memerlukannya ia sudah berlalu jauh.
Justeru jangan sampai kita mengemis waktu, maka kehadirannya perlu dipergunakan dengan sebaik mungkin. Lihat lah ke hadapan, nilai dan telitilah masa yang sudah kita tinggalkan dengan sisa-sisa usia yang akan kita lalui. Sejauh mana sudah ia kita pergunakan dan ke mana arah dan matlamat penggunaannya kita. Inilah yang akan menjadikan kita lebih dewasa, kerana kemampuan merancang dan mempergunakan masa sebaiknya. Hal sedemikian inilah yang akan melahirkan generasi muda remaja yang berkualiti tinggi.
Kualiti yang bukan setakat bermanafaat untuk jangka pendek, malahan ia menjadi aset keluarga, masyarakat dan negara yang tercinta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan